Ditegur tak patuh SOP, warga emas ugut bunuh polis

0
1

BERANG ditegur polis kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seorang lelaki warga emas bertindak mengugut mahu membunuh selain menendang anggota polis yang ingin menahannya semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam di sebuah restoran di Taman Sri Manja, Petaling Jaya itu, suspek berusia 62 tahun didapati berkumpul lebih daripada dua orang di sebuah meja di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan polis sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit sebelum ternampak kumpulan pelanggan restoran terbabit.

“Apabila polis mendekati meja pelanggan terbabit untuk memberi teguran kesemuanya melarikan diri, namun seorang daripadanya bertindak berani menghampiri polis.

“Lelaki warga tempatan itu kemudian mengugut mahu membunuh salah seorang anggota polis berkenaan dan bertindak agresif menendang polis ketika proses tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya, suspek sekali lagi mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang sama.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dia kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan menghalang ugas penjawat awam.

“Selain itu, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh semasa berada di balai polis dan warga emas itu turut dikompaun RM1,000 kerana ingkar PKP (tiada penjarakkan sosial),” katanya.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here