KERAJAAN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula esok susulan penularan wabak Covid-19 dikesan di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi Covid-19 di kawasan terbabit dan mengesahkan sebanyak sembilan kes positif dikesan sehingga semalam.
“Seramai 79 kontak rapat telah dikenalpasti tinggal di lokaliti berkenaan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Felda Triang 3 bermula esok hingga 3 Mac depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu akan membabitkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 merangkumi 1,356 penduduk.
“KKM akan melaksanakan saringan secara besar-besar an ke atas semua penduduk untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya. -Malaysiapost

