JENAZAH Rabitah Hamed, 49, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Griffith, Australia baru-baru ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Griffith, kira-kira jam 12 tengah tadi.
Abang iparnya, Mukhti Mat Jusoh, 58, berkata mereka sekeluarga bersyukur kerana penantian keluarga yang mahu jenazah dikebumikan segera akhirnya tercapai, walaupun terpaksa menunggu selama 10 hari.
Katanya, keluarganya termasuk tiga anak arwah berusia 14 hingga 26 tahun tetap reda dengan apa yang berlaku, walaupun tidak dapat wajah arwah buat kali terakhir.
“Memang kami berharap sangat supaya jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia, namun disebabkan banyak proses yang perlu dilakukan, kami redha arwah dikebumikan di Australia.
“Kami minta rakan arwah di sana, membuat rakaman langsung keadaan di sana ketika pengebumian dilakukan, dapat juga kami melihat di sini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Mukhti berkata, keluarga akan meneruskan majlis tahlil untuk arwah di masjid dan surau di kawasan ini sehingga hari ke-14.
“Saya juga akan menunaikan amanah Allahyarham untuk menjaga ketiga-tiga anaknya (Rushaniena Izani, 26; Ridwana Ardini, 19 dan Rafiq Afif Rusman, 14),” katanya.
Mukhti berkata, mereka sekeluarga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan derma bagi menampung kos pengebumian Rabitah.
Allahyarhamah Rabitah terlibat dalam kemalangan di Griffith, Australia, meninggal dunia pada 8 Februari lalu selepas dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas.
Difahamkan, Rabitah maut di tempat kejadian akibat terpelanting keluar dari kereta dipandunya yang kemudian terjatuh ke dalam tali air berdekatan.
Sebelum ini, keluarga arwah berusaha mengumpulkan dana berjumlah RM50,000 bagi membawa pulang jenazah Rabitah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam. -Malaysiapost

