Liverpool lega, Barcelona kena lanyak

0
1

LIVERPOOL seperti melepas geram apabila kembali menemui sentuhan kemenangan dengan menewaskan RB Leipzig 2-0 pada aksi pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Budapest, Hungary.

AFP melaporkan jaringan babak kedua Mohamed Salah dan Sadio Mane, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Leipzig, sudah cukup memberi kelebihan buat juara Liga Perdana Inggeris itu menjelang aksi timbal balik pada 10 Mac.

Skuad kendalian Jurgen Klopp berpeluang cerah untuk mara ke suku akhir selepas menamatkan deretan tiga kekalahan liga yang menyebabkan mereka ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Manchester City.

“Ia adalah perlawanan yang kami mahu dan perlukan malam ini. Leipzig mampu menjadi lawan yang sukar.

“Cara mereka bermain di Bundesliga amat fizikal dan mampu menundukkan lawan, tetapi kami berjaya mengawal mereka malam ini.

“Mereka mempunyai peluang berdasarkan kualiti mereka tetapi kami memastikan kemenangan milik kami,” kata Klopp.

Perlawanan pertama itu dipindahkan dari Leipzig ke Budapest akibat larangan perjalanan Covid-19 oleh kerajaan Jerman.

Berbeza dengan nasib Liverpool di Liga Perdana, Leipzig kendalian Julian Nagelsmann merakam empat kemenangan berturut-turut di laman sendiri dan berada di tangga kedua Bundesliga di belakang Bayern Munich sebelum aksi di Budapest.

“Kami melakukan dua kesilapan besar yang pasti akan dihukum di mana-mana peringkat.

“Kesilapan boleh berlaku, permainan kami tidak seteruk mana dan kami terpaksa menerima keputusan ini,” kata Nagelsmann.

Dalam satu lagi aksi Eropah, Kylian Mbappe percaya Paris Saint-Germain masih belum mencapai kemuncak prestasi mereka selepas hatriknya membantu mereka menewaskan Barcelona 4-1 di Camp Nou.

“Kami amat berpuas hati. Ia perlawanan yang amat penting buat kami.

“Kami mahu datang ke sini dan menang, dan kami lakukannya dengan penuh gaya,” kata Mbappe selepas membantu PSG bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan.

Lionel Messi

Kemenangan itu diraih tanpa bintang utama Neymar dan Angel Di Maria yang cedera, dengan Barcelona terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Lionel Messi.

Selain Mbappe, Moise Kean turut menemui sasaran dalam kemenangan kelab Perancis itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here