Bukan sekadar padam api, bomba juga pakar memujuk

0
1

TABIK abang bomba kerana menyelamatkan seorang lelaki yang cuba membunuh diri di Kampung Hutan Rebana, Machang, Kelantan, malam tadi.

Walaupun mengambil masa hampir 45 minit untuk memujuk, usaha itu seharusnya dipuji kerana mereka sabar dalam menjalankan tugas.

Dalam kejadian sekitar 9.30 malam itu, lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan membakar dirinya sehingga melecur dan terjun ke dalam perigi sedalam tiga meter.

Kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata seramai enam anggota bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

“Setibanya di lokasi, mangsa berada di dalam perigi dan bertindak agresif serta enggan memberi kerjasama sebelum kami cuba memujuknya.

“Apabila anggota kami mendekatinya dan cuba untuk menyelamat, dia bertindak melawan dan meronta.

“Selepas 45 minit tugasan menyelamat dibuat termasuk memujuk, mangsa yang dilihat sudah keletihan berjaya dikeluarkan menggunakan tali,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Malaysiapost

Foto:Ihsan Bomba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here