‘Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam’ – Zahid

0
1

HAMPIR tiga tahun menerajui Umno sebagai Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkongsi pahit getir cabaran dihadapi termasuk cubaan menggulingkannya serta ugutan oleh musuh dan ahli parti itu sendiri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengumpamakan apa yang dilaluinya seperti ‘air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam’ namun sebaliknya ada pihak menuduh beliau sebagai gila kuasa.

“Tanggal 9 Mei 2018 musuh tertawa melihat ‘rumah agam’ Umno roboh. Puas hati melihat ahli Umno yang setia kesedihan. Yang kurang setia bagai ayam disambar helang.

“Takdir ilahi aku dipilih mengenggam bara api perjuangan memahat tiang agar kembali berseri.

“Jangan tuduh diri yang serakah. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Menurutnya, bukan sahaja ditertawakan pihak lawan yang gembira dengan kejatuhan Umno susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, tetapi lebih perit apabila diugut rakan sendiri supaya berundur daripada memimpin Umno.

“Baru saja mula memahat diugut rakan supaya beredar atau ada yang akan meninggalkan saf.

“Tidak lama selepas beredar mereka mufaraqah jua. Ternyata cuma alasan. Ugutan itu dusta,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu membuktikan tindakan berehat daripada jawatan Presiden Umno selama enam bulan atau melepaskan jawatan itu seperti didesak beberapa pihak bukanlah penyelesaian.

Menurutnya, demi amanah yang dipertanggungjawab dan baiah kepada Tuhan menjadi penguat semangat untuk beliau meneruskan perjuangan.

“Sesiapapun yang diamanahkan akan mereka gasak supaya tiang kekal tidak berseri, kerana itu matlamat utama mereka.

“Sekembali memahat, diugut pula seteru supaya henti bertukang. Jika tidak ke dalam kau rasakan.

“Pedulikan. Aku percaya keagungan Tuhan. Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Melindungi,” tegasnya.

Ahmad Zahid berpendapat, pihak yang menguggut dan menghalang beliau daripada menerajui Umno itu khuatir jika Umno kembali bangkit.

“Mereka takutkan bayang-bayang. Mereka tahu ‘rumah agam’ Umno sedang dipulih.

“Mereka takut dan resah mahu mengagalkan. Namun aku yakini kudrat ini tidak akan pernah berhenti,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/04/tidak-perlu-khuatir-dengan-kebangkitan-umno-bn-zahid-hamidi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here