SEORANG warden wanita di Sekolah Henry Gurney (SHG) dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah oleh penyelianya sebelum ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan syabu.
Polis juga mengesahkan wanita yang juga ibu kepada lapan orang anak berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.15 malam di IPD berkenaan, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, penyelianya bertindak demikian selepas mengesyaki wanita terbabit terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis AMP dan syabu.
“Pemeriksaan di rumah suspek di Serkam bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa bahan terlarang (dadah),” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.
Ujarnya lagi, hasil soal siasat mendapati suspek mengakui telah bekerja sebagai warden di sekolah berkenaan selama 16 tahun.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.
“Wanita itu kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/gangguan-seksual-polis-kl-rekod-keterangan-anggota-mangsa/

