UMAT Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aplikasi yang tidak bermoral seperti Sugarbook.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menegaskan sebarang perbuatan yang mendorong kepada berlakunya zina adalah dilarang menurut syarak.
“Larangan ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti yang terdapat dalam firman Allah Ta’ala dalam surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan),” katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut mengingatkan akibat buruk bagi mereka yang terjerumus ke dalam kancah zina, antaranya dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh serta diharamkan syurga bagi penzina sedangkan mengetahui perbuatan itu adalah jelas dilarang.
“Larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook atau mana-mana aplikasi lain yang berkaitan dengannya adalah selaras dengan prinsip sadd al-dzara’i iaitu penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada perbuatan yang haram di sisi Islam,” katanya.
Justeru, beliau menasihati umat Islam yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu supaya segera bertaubat kepada Allah dan berazam untuk meninggalkan perbuatan itu selama-lamanya.
Luqman juga meminta umat Islam supaya bermuhasabah, menginsafi serta mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan amal ibadat dan amal soleh.
“Yakinlah bahawa rezeki yang dikurniakan Allah SWT itu amat luas. Janganlah sesekali berputus asa untuk mencari rezeki yang halal demi kelangsungan hidup masing-masing.
“Jauhilah perkara-perkara yang haram, nescaya akan bertambah keberkatan dalam hidup,” katanya lagi. – Malaysiapost

