PEMANDU di sektor pengangkutan awam yang menerima bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020 layak menerima Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara automatik.
Ia berikutan ramai pemandu di sektor tersebut terus memberikan khidmat kepada masyarakat walaupun berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata bagi mempercepatkan proses pembayaran, pemandu terbabit dikecualikan daripada melalui proses permohonan dan hanya saringan lesen sahaja yang perlu dibuat.
Beliau berkata, bantuan tunai PERMAI bernilai RM500 itu akan memanfaatkan 118,000 pemandu e-hailing, teksi, bas sekolah dan persiaran yang sudah diluluskan serta mereka yang masih belum membuat permohonan.
Katanya, bantuan secara ‘one off’ menerusi pakej PERMAI itu membabitkan peruntukan sebanyak RM15 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu.
“Ini adalah sebahagian daripada 22 inisiatif PERMAI yang diperkenalkan untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat semasa berlakunya wabak Covid-19.
“Perkhidmatan mereka (pemandu di sektor pengangkutan awam) semata-mata mahu memastikan bekalan makanan, barangan keperluan dan kehidupan orang ramai berjalan dengan baik.
“Kerajaan juga menyedari bahawa pemandu ini perlu diberikan bantuan bagi membolehkan mereka menampung keperluan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej PERMAI bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Ia merupakan tambahan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan Covid-19 pada awal tahun lalu, dengan nilai keseluruhan RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Empat pakej bantuan terdahulu adalah PRIHATIN, PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KitaPrihatin.
Sementara itu, Ka Siong berkata, semua pemohon baharu digesa memberi maklumat tepat dan terkini kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengikut kriteria ditetapkan bagi memastikan pemprosesan dan pengagihan bantuan tunai tidak tertangguh. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

