UNHCR bantah penghantaran pulang pelarian Myanmar

0
3

KEPUTUSAN kerajaan Malaysia untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin warga Myanmar ke negara asal mereka mendapat bantahan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). 
Pertubuhan itu mendakwa pihak berkuasa Malaysia tidak memaklumkan mengenai tindakan penghantaran pulang itu kepada mereka. 
“Sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang mengikat semua, prinsip tiada penghantaran pulang paksa terhadap pelarian (non-refoulement) turut terpakai di Malaysia,” kata UNHCR seperti dilaporkan Reuters.
Laporan itu mengatakan, UNHCR percaya terdapat sejumlah pelarian Myanmar berada dalam tahanan di Malaysia, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang mungkin memerlukan perlindungan antarabangsa.
Menurut laporan itu lagi, UNHCR tidak mengetahui jumlah sebenar pelarian yang ditahan kerana dilarang masuk ke pusat tahanan di Malaysia sejak 2019. 
Sekatan itu manghalang badan tersebut daripada mengenal pasti pelarian dan membantu pencari suaka.
Warga Myanmar yang ditahan sebelum ini termasuk etnik Kachin, Chin dan Rohingya yang melarikan diri daripada konflik etnik yang dilakukan oleh tentera Myanmar.
Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian PBB UNHCR, selain ribuan pekerja asing.
Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (Reach) semalam menggesa kerajaan agar berhati-hati dalam penghantaran pulang tersebut, terutama yang melibatkan etnik Rohingya kerana bimbang mereka akan dizalimi pemerintahan tentera di negara berkenaan. 
Ia susulan laporan bahawa Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen, dengan tentera Myanmar menawarkan tiga kapal lautnya untuk mengangkut mereka.
PBB turut menyuarakan kebimbangan rampasan kuasa itu akan memburukkan lagi keadaan ratusan ribu etnik Rohingya beragama Islam yang masih ada di negara itu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/bimbang-etnik-rohingya-dizalimi-jika-dihantar-pulang/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here