Segerakan penebusan GCR bagi penjawat awam – Cuepacs

0
1

CUEPACS mahu kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai. 

Penebusan itu dilihat dapat membantu penjawat awam yang turut terkesan dari segi ekonomi susulan pandemik Covid-19. 

Presidennya Adnan Mat, berkata bagi membolehkan penebusan awal GCR dilaksanakan segera, pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 juga perlu disegerakan. 

Menurutnya, isu timbul apabila kerajaan memaklumkan mahu mengkaji semula penebusan awal GCR kerana ia dianggap tidak menguntungkan penjawat awam kerana formula pengiraan adalah berasaskan kepada gaji semasa penjawat awam. 

“Jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa perkhidmatan dikatakan jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji yang diterima ketika bersara adalah lebih tinggi. 

“Selepas pengumuman itu, perkara mengenai pelaksanaan GCR terus dibiarkan tergantung hingga menimbulkan pertanyaan kepada kebanyakan penjawat awam yang sepatutnya layak menuntut penebusan awal GCR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, sebagaimana rakyat lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19, penjawat awam juga tidak terlepas daripada merasai perkara itu walaupun gaji mereka tidak terjejas. 

“Ini kerana kebanyakan pasangan penjawat awam adalah daripada pekerja di sektor serta peniaga kecil-kecilan yang mungkin telah dibuang kerja dan terjejas pendapatan akibat tidak lagi boleh berniaga. 

“Kos belanja sara hidup yang selama ini dikongsi secara bersama terpaksa dipikul sendiri oleh penjawat awam,” katanya. 

Adnan berkata, kebanyakan penjawat awam yang layak menebus GCR juga telah berkhidmat lebih 15 tahun dengan  anak ramai sudah besar serta memerlukan perbelanjaan lebih tinggi. 

“Fasa ini merupakan fasa yang memerlukan perbelanjaan yang lebih besar apabila ada anak-anak yang mahu melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti. 

“Soal memberikan keuntungan atau kerugian kepada penjawat awam jika GCR ini ditebus awal adalah perkara kedua yang lebih penting adalah survival hidup yang perlu diteruskan ketika ini berbanding selepas usia persaraan.

“Janganlah dilihat penjawat awam dalam konteks individu tetapi lihatlah dalam konteks isi rumah yang turut terkesan dengan pandemik,” katanya. 

Beliau berharap, sebagaimana pemberian pengeluaran i-Sinar kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat, kerajaan juga dapat memberi khabar gembira kepada penjawat awam dalam hal penebusan awal GCR ini. -Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here