MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menasihatkan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak berputus asa dalam perniagaan mereka ketika menghadapi cabaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tengku Zafrul berkata, peniaga PKS perlu mengambil peluang dalam tempoh PKP ini dengan memulakan perniagaan dalam talian bagi mengembangkan pasaran mereka.
“Kerajaan telah bantu beri dana untuk peniaga memulakan perniagaan, itu nasihat saya mulakan perniagaan dalam talian terutama semasa PKP ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat perusahaan kuih kapit Usahawan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kampung Serting Ilir, Negeri Sembilan, hari ini.
Lawatan tersebut merupakan salah satu lokasi dalam lawatan kerja sehari beliau ke daerah Jempol hari ini bagi melihat bagaimana program-program bantuan disalurkan kerajaan memberi manfaat kepada masyarakat.
Tengku Zafrul kemudiannya turut melawat dan merasmikan Projek Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (PPDM) di Pusat Komuniti Desa (PKD) Kampung Serting Ilir.
Pada program tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan 20 tablet kepada pelajar dan murid dalam kalangan kategori 40 peratus terendah (B40) yang memerlukan peranti untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sementara itu, Pengurus PKD Kampung Serting Ilir, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 30 berkata, PPDM Kampung Serting Ilir telah beroperasi sejak minggu lalu bagi membantu murid-murid sekolah di kampung berkenaan yang kurang berkemampuan untuk mengikuti PdPR. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/hikmah-kuasa-hujung-jari-jualan-meningkat-di-sebalik-pkp/

