TANDA pagar #RoadToHalal mula bertebaran di media sosial sebagai simbolik untuk mendoakan urusan hari bahagia pelakon jelita Uqasha Senrose berjalan lancar.

Tanda pagar itu dicetuskan oleh para peminat aktres itu yang kini sedang menghitung hari menanti detik bahagia untuk disatukan dengan bakal suami yang juga pelakon, Kamal Adli.
Para peminat dan pengikut pasangan merpati dua sejoli ini seolah olah dapat menghidu tarikh pernikahan mereka semakin hampir susulan tindakan Uqasha, 29, memuatnaik beberapa fotonya mengenakan busana pengantin di Instagram, semalam.
Rata-rata peminat memuji dan terpesona dengan keanggunan pelakon Perempuan Tanpa Dosa yang menyarung koleksi busana pengantin pereka terkenal tanah air, Shanell Harun.
Malah ada warganet memuji kecantikan Uqasha bagaikan seorang puteri cantik sedang menanti ‘prince of charming’ menyunting dirinya sebagai isteri.
Terdahulu sebaik sahaja melamar Uqasha secara langsung dalam program Anugerah MeleTOP Era 2020 Disember lalu, Kamal mendedahkan mereka bakal disatukan sebagai pasangan suamI isteri pada pertengahan tahun 2021.
“Buat masa ini, tarikh terpaksa dirahsiakan dahulu sebab masih berbincang dengan kedua-dua keluarga.
“Namun, jika tiada aral melintang, Insya-Allah kami akan bernikah pada pertengahan tahun depan,” kata Kamal.
Dalam pada itu, kecantikan Uqasha telah diserikan lagi dengan barangan kemas Habib Jewels bernilai RM4 juta.
Aksesori mewah bertakhtakan berlian dan permata mutiara yang ditempahkan khas itu merupakan koleksi cinta yang membawa makna pengharapan dan keabadian dalam percintaan.
“Classic, mewah dan malar segar. Saya suka koleksi busana perkahwinan terbaru daripada Shanell Harun ni,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/12/23/tegur-pendakwah-kamal-dan-uqasha-bukan-buat-maksiat-michael/

