AHLI Parlimen yang ingin ‘melompat’ dan mahu menyertai Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) akan melalui proses penapisan yang ketat sebelum diterima sebagai ahli.
Langkah itu terpaksa diambil bagi mengelakkan berlaku sebarang unsur perkhianatan terhadap parti pada masa hadapan, kata Pegawai Khas Media kepada Presiden Penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Mohd Fisol Jaafar.
Bagaimanapun menurut Mohd Fisol, permohonan ahli-ahli baharu akan melalui proses pendaftaran seperti biasa sebelum diluluskan.
“Penjelasan Mukhriz semasa menjawab soalan wartawan semalam adalah merujuk kepada penerimaan ahli-ahli Parlimen menganggotai Pejuang dengan tapisan ketat terhadap mereka.
“Keahlian biasa pula adalah seperti kelaziman, melalui proses biasa untuk kelulusan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang menyebut Pejuang akan membuat tapisan yang ketat terhadap setiap ahli baharu terutama tokoh politik untuk mengelakkan berlaku pengkhianatan terhadap parti itu pada masa hadapan.
Mohd Fisol berkata, pendaftaran ahli baharu Pejuang akan dibuka selepas permohonan parti itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/tiada-alasan-lagi-pejuang-tidak-dapat-diluluskan/

