SEKUMPULAN pemburu haram diberkas anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, dalam Op Khazanah di kawasan Hutan Rizab Ulu Muda, Kedah semalam.
Dalam opsrasi disertai Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu, 12 individu berusia 30-an hingga 40-an ditahan pada jam 3.15 pagi.
Pelbagai rampasan turut dibuat termasuk senapang, peluru dan dua pelanduk daripada kumpulan pemburu haram terbabit.
Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Superintendan Rosman Kasman berkata, pihaknya melakukan operasi itu berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung kegiatan pemburuan haram di kawasan itu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa motosikal disorok dalam hutan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, 12 individu sedang tidur dan kita turut menemui dua senapang, 16 peluru, dua unit alat telekomunikasi (walkie talkie), sebuah unit sistem penentu kedudukan global (GPS), dan gergaji besi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Rosman berkata, turut dirampas seekor pelanduk yang sudah mati dan seekor pelanduk hidup.
Beliau berkata, mereka juga gagal mengemukakan dokumen pemilikan sah terhadap hidupan liar ketika ditemui dan melakukan kesalahan mengikut Akta 716.
“Seorang daripada lelaki itu mengaku menembak dan menyimpan pelanduk mati dan seekor lagi pelanduk yang masih hidup.
“Semua barangan kes dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM25,000 dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Sik untuk tindakan lanjut,” katanya.
Rosman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi Seksyen 61 Akta 716 pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rosman juga meminta orang awam terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pemburuan haram atau penyeludupan khazanah negara dengan menghubungi 05-4343701 (cawangan risik dan gerakan) berserta maklumat lengkap dan identiti mereka akan di rahsiakan. -Malaysiapost
Foto: Berita Harian

