PELAKSANAAN pengeluaran i-Sinar bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dipermudahkan dengan pemansuhan syarat disambut baik pelbagai pihak.
Wanita Umno berpendapat pemansuhan syarat pengeluaran i-Sinar seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu tentunya melegakan pemohon, namun pelaksanaan pengeluarannya juga perlu diteliti.
Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim, berkata sebelum ini pihaknya secara konsisten menyuarakan tentang isu syarat pengeluaran i-Sinar yang dilihat menyukarkan orang ramai.
“Pastinya desakan daripada pimpinan parti politik termasuklah daripada Umno dan netizen seluruh negara telah memberi impak kepada hasrat mereka yang memohon pengeluaran tanpa syarat menerusi i-Sinar berkenaan.
“Cumanya Wanita Umno akan melihat dan meneliti secara dekat pelaksanaan pengeluaran berkenaan selepas ini supaya pemohon yang memohon pengeluaran terbabit tidak berdepan dengan sebarang kesukaran lain kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Segamat itu berkata, pihaknya sedar proses pengeluaran itu mengambil masa namun mengharapkan ianya tidak berpanjangan supaya rakyat tidak lagi dibebani dengan masalah serta karenah birokrasi dan sebagainya.
“Kita memahami dan mendengar keluh kesah rakyat di luar sana dan terima kasih kepada kerajaan yang mendengar desakan demi desakan daripada pelbagai pihak dalam isu tersebut.
“Gunalah sebaiknya pengeluaran berkenaan dan pada masa yang sama wabak Covid-19 di luar sana masih bertebaran,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/11/syarat-i-sinar-dimansuh-ini-lebih-adil-najib/

