Covid-19: Gelombang ketiga didominasi kluster tempat kerja

0
1

GELOMBANG ketiga penularan wabak Covid-19 didominasi kluster tempat kerja yang merekodkan 527 kluster dengan 78,906 kes positif bermula September sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 58,318 membabitkan bukan warga Malaysia manakala selebihnya iaitu 20,588 adalah warga negara.

Katanya, kluster tempat kerja merangkumi kategori pembuatan yang merekodkan 194 kluster diikuti perkhidmatan (175) pembinaan (94), pentadbiran awam (39),pertanian (14) dan perlombongan/kuari (lapan).

“Laporan dikeluarkan KKM mengesan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini bermula 20 September hingga semalam merekodkan sebanyak 852 kluster, dengan 527 kluster daripadanya adalah membabitkan tempat kerja. Ini adalah jumlah yang besar.

“Dalam kluster di tempat kerja ini, seramai 315,100 disaring dengan 78,906 (25.04 peratus ) didapati positif Covid-19. Daripada jumlah kes positif di tempat kerja berkenaan 73.91 peratus adalah dalam kalangan bukan warga negara, manakala 26.09 peratus adalah warga tempatan” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, menerusi operasi bersepadu yang dilakukan itu, pihaknya mendapati keadaan tempat tinggal pekerja asing terlalu sesak dan sempit, dengan seramai 19 hingga 25 orang bersesak di dalam sebuah lot rumah kedai.

“Tempat penginapan ini difahamkan didiami oleh pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza di Senai. Kita tidak pasti sama ada tempat penginapan ini disediakan majikan atau agensi lain namun ia sedang disiasat JTK.

“Menerusi tinjauan yang dilakukan, kita dapati majikan meletakkan pekerja mereka dengan tidak amalkan 3S dan ia melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kita akan minta JTK Johor menyiasat sama ada majikan atau agensi pekerja yang bertanggungjawab terhadap keadaan tempat tinggal pekerja asing terbabit.

“Tindakan perlu diambil bagi mengatasi kesesakan di tempat penginapan pekerja asing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/kluster-tempat-kerja-semakin-banyak/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here