MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui penganjur program yang dihadirinya hari ini tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Ketereh itu memohon maaf kerana hanya duduk sekejap dan kemudian berpindah kerana penganjur tidak mengikut SOP.
“Tadi semasa di ladang,saya duduk sekejap dan pindah kerana penganjur tak ikut SOP..bukan tak sudi atau tak hargai tuan rumah tetapi perlu ikut SOP. Saya pohon maaf di harap tiada yang tersinggung.
“Walau bagaimanapun saya teruja dengan kegigihan komuniti jayakan Urban Farm kita..hidangan di ladang, nampak dalam gambar macam dalam restoran..walau di farm dan outdoor, elok amalkan penjarakan,” katanya.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan Annuar bagaikan tidak serik apabila sekali lagi didakwa tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jika sebelum ini Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa dirinya ‘terserempak’ ketika bergambar bertiga ketika bersenam, terbaru beliau menjamu selera lebih dua individu semeja.
Berdasarkan gambar yang tular itu, kejadian berkenaan dipercayai berlaku hari ini. Ia berdasarkan tarikh pada kain rentang yang terdapat di dalam gambar berkenaan.
Tarikh kejadian adalah hari ini dan program yang dihadiri Annuar itu bertempat Kebun Komuniti Bandar (Urban Farming) PPR Seri Malaysia Kuala Lumpur.-Malaysiapost

