‘Pemimpin, ahli dan penyokong akan terus perkasa BN’ – Zahid

0
1

AHLI dan pemimpin Barisan Nasional (BN) akan terus memperkasa parti itu dengan memperkukuhkan kerjasama secara jujur dan ikhlas.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun BN pernah terpalit riwayat hitam serangan dari dalam untuk meranapkan gabungan itu demi kepentingan mereka yang tersasar, namun parti itu kekal teguh.

“Walau apa terjadi pemimpin, ahli dan penyokong BN akan terus memperkasakan BN. Mengukuhkan kerjasama dengan yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Presiden Umno itu berkata, BN bukan setakat sebuah gabungan politik, sebaliknya ia adalah formula yang membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Katanya, BN menyuluh semangat konsensus keamanan dan perpaduan demi memandu sejarah keharmonian berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Sejak sekian lama dalamnya berdiri Umno, MCA, MIC dan parti lain yang mewakili kepentingan segenap anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Malaysia sukar mencapai kemakmuran seperti yang dicapai pada hari ini seandainya negara bermula dengan formula yang menghancurkan dan merobohkan,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, tidak keterlaluan apabila ada yang berpandangan jika berlaku perpecahan dalam BN, ia memberi maksud perpecahan dalam negara kerana sejak dulu rakyat bersatu mengikut prinsip parti itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, waulaupun ada formula baharu hampir sama cuba ditawarkan oleh bukan BN sejak 23 tahun lalu, tetapi malangnya ia tidak serupa.

“Formula tiruan, maka hasilnya juga tiruan. Alternatif berpecah, pakatan berterabur, harapan berkecai. Pada akhirnya sejarah membuktikan BN tetap formula terbaik untuk acuan perpaduan rakyat.

“Umno, MCA, MIC dan parti komponen lainnya terus utuh bersama BN dengan berpegang kepada konsensus menjaga negara, membela negara,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/07/28/pas-zahir-komitmen-bersama-umno-terus-perkukuh-perikatan-nasional/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here