PAS Selangor menyambut baik usaha pembentukan Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, yang disarankan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, usaha terbabit secara tidak langsung menandakan kesediaan PAS negeri itu memberikan komitmen penuh dalam gerak kerja ‘mempertahankan PN’ sebagaimana diarahkan oleh PAS Pusat.
Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi harapan PAS Selangor agar pembentukan ini dijayakan dengan meraikan semangat musyawarah, hormat-menghormati dan tolak-ansur antara parti-parti yang mendukungnya.
“Pada setiap waktu dan ketika demi menjamin hubungan kerjasama politik yang mantap dan berkesan khasnya dalam usaha menawan negeri Selangor yang kini dikuasai Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan agar semua keputusan berkaitan lantikan parti di peringkat negeri dan Parlimen dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu.
“Setiap jawatan di peringkat negeri selain pengerusi dan naib-naib Pengerusi PN Negeri sewajarnya diputuskan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Perikatan Nasional Selangor.
“Ia bagi mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh masing-masing parti di bawah PN Negeri bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai keupayaan mempengaruhi akar-umbi khasnya rakyat Negeri Selangor,”katanya.
Tambahnya, PAS Selangor bersedia memberikan penglibatan dan kerjasama penuh bagi menjayakan agenda PN di negeri itu dan mengekalkan kerajaan PN dengan semangat perpaduan ummah.
Mesyuarat yang berlangsung pada 5 Februari lalu antara pimpinan Bersatu dan PAS Selangor telah membincangkan usaha pembentukan Badan Perhubungan Negeri PN Selangor.
Menurut Azmin, ia bagi memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baharu.
Katanya, lanskap politik Selangor serta cabaran-cabaran semasa menuntut supaya PN menampilkan politik progresif dan berpencerahan dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: www.malaysiapost.com.my/2021/02/11/bersatu-pas-bincang-pembentukan-badan-perhubungan-negeri-pn-selangor/amp/

