BARU-BARU ini, tular video mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang instafamous yang menyatakan bahawa ‘rezeki suami datang dari redha isteri’.
Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang kurang senang dengan perkara itu yang disifatkan tidak tepat.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) hari ini memperjelaskan isu berkenaan bagi mengelak salah faham selain turut menyarankan semua pihak supaya mendapatkan pandangan dari yang arif sebelum mengeluarkan kenyataan umum.
PMWP dalam satu kenyataan di laman webnya, berkata, pada asasnya, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak.
“Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-Nya, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan oleh-Nya.
“Justeru, ucapan rezeki suami atau lelaki datang dari redha isteri boleh membawa salah faham jika tidak diperjelaskan dengan betul.
“Dari satu sudut, tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu juga bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga,” katanya.
Oleh demikian, menurut kenyataan itu, berlaku baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT.
“Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
“Adapun rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada redha isteri atau wanita secara langsung.
“Namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadith yang sahih,” katanya. -Malaysiapost

