Kami tak tabur janji – ‘Hari ini perintah, esok harga minyak turun’

0
1

“KAMI pun mampu berfikir apa yang boleh dan apa tidak mampu dilakukan kerajaan, bukan hanya tahu tabur janji manifesto ibarat ‘hari ini perintah, esok harga minyak turun” kata Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memansuhkan syarat bagi kemudahan pengeluaran i-Sinar yang diumumkan Kementerian Kewangan, semalam.

Mohd Hairi berkata, penelitian Pemuda Umano terhadap aliran KWSP sebelum ini mendapati ia tidak akan terkesan jika tiada syarat dikenakan kepada pencarum dalam pengeluaran i-Sinar.

“Sepatutnya ia (syarat) tidak perlu diletakkan sejak daripada awal. Namun, tidak mengapa jika alasan kajian teliti perlu dilaksanakan kerana yang paling penting perkara tersebut dapat memberi manfaat dan kebaikan buat semua pencarum yang terkesan.

“Sebelum ini saya masih ingat, ada seorang Ahli Parlimen menyifatkan sokongan bersyarat Belanjawan 2021 oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ibarat syarat dalam Hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Kalau lanjut moratorium dan mansuh syarat KWSP yang kami sudah teliti tidak mustahil dilakukan dan boleh dilakukan itu dianggap dan disamakan dengan syarat Puteri Gunung Ledang, kami tidak akan bermati-matian mendesak wahai Ahli Parlimen yang bijaksana.

“Kami pun mampu berfikir apa yang boleh dan apa tidak mampu dilakukan kerajaan, bukan hanya tahu tabur janji manifesto ibarat ‘hari ini perintah, esok harga minyak turun’… itu bukan tahap pemikiran Pemuda Umno,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dari awal mengutarakan isu tersebut dan tidak jemu mendesak walaupun ada yang melemparkan tohmahan terhadap mereka.

Katanya, kepada pencarum yang memohon pengeluaran i-Sinar gunakan dan manfaatkannya sebaik mungkin, serta beringat untuk menyimpan kerana kita masih belum menang.

“Paling penting, Pemuda Umno akan terus memperjuangkan segala bentuk usaha yang dapat memberi kebaikan dan membantu rakyat ketika tempoh sukar ini!,” ujarnya lagi.

Semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan memaklumkan KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Menurut beliau, ia adalah berikutan nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Kenyataan itu juga memaklumkan pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan akaun satu mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada. – Malaysiapost

Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/11/tiada-lagi-syarat-pengeluaran-i-sinar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here