Bekas Timbalan MB Selangor meninggal dunia

0
1

BEKAS Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Sujak Mahmud menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Seksyen 4, Shah Alam petang semalam.

Allahyarham Abu Sujak, 82, meninggal dunia kira-kira jam 6 petang disebabkan sakit tua.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Menerima berita duka Datuk Hj Abu Sujak Mahmud telah menghembuskan nafas terakhir.

“Allahyarham merupakan tokoh yang telah menabur bakti dan berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam yang pertama.

“Allahyarham juga merupakan mantan Timbalan Menteri Besar Selangor dan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga,” katanya.

Beliau turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Takziah diucapkan kepada keluarga,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 4 hari ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Datuk Dagang, Kampung Jawa, Klang.

Abu Sujak pernah memegang jawatan sebagai Timbalan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada November 1989, sehingga Pilihan Raya Umum 1990.

Allahyarham juga merupakan Datuk Bandar Shah Alam yang pertama dilantik pada 10 Oktober 2000. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here