BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub digesa segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak hanya mempolitikkan isu kartel daging.
Gesaan dibuat Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) susulan dakwaan Salahuddin yang pernah menerima tawaran percutian mewah ke Eropah daripada syarikat pengimport daging.
Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang bersedia menyiasat pendedahan bekas menteri terbabit yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).
Menurutnya, bagaimanapun pendedahan itu agak terlewat, memandangkan isu sebegini adalah isu besar yang membabitkan umat Islam di negara kita.
“Sekiranya pendedahan itu benar-benar berlaku, sewajarnya beliau tidak teragak-agak membuat aduan kepada SPRM ketika menjawat jawatan menteri di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Jika Salahuddin serius dalam isu ini, DPIM yakin beliau akan membuat laporan kepada SPRM dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahir berkata, pihaknya juga berpandangan kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kartel daging dan semua pihak yang terlibat boleh menyalurkan maklumat kerana ia melibatkan kepentingan pengguna khususnya umat Islam di negara ini.
“Kalau boleh diundurkan masa, alangkah baik kiranya isu ini dibongkarkan apabila bekas menteri tersebut menerima tawaran daripada pihak kartel.
“Ironinya sekarang, isu daging import itu dipolitikkan oleh bekas menteri berkenaan dengan menunding jari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, Salahuddin perlu segera membuat laporan kepada SPRM untuk memudahkan penyiasatan pihak SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

