Isu royalti: PPM jangan jolok sarang tebuan – Presiden Karyawan

0
1

Nurul Huda Abhar

PRESIDEN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez sedia berdepan dengan sebarang tindakan atas sebab membela nasib ahli persatuan itu.

Freddie menegaskan, apa yang disuarakan beliau mempunyai asas tersendiri dan yang paling utama pihaknya tidak mahu ahli persatuan itu dimanipulasikan tanpa sedar.

“Apa yang saya lontarkan adalah suara hati ahli kami iaitu para pelaku dan penggiat seni yang sentiasa dalam keadaan tertindas hasil manipulasi beberapa badan pengutip royalti, antaranya Public Performance Malaysia (PPM).

“Lebih 20 tahun saya berjuang untuk perkara seperti ini, dan segala permainan badan-badan sebegini cukup saya fahami.

“Pada suatu ketika saya sendiri menyokong badan-badan ini sewaktu permulaan penubuhan mereka tetapi apabila melihat tindakan yang semakin “gelong” dan terlalu banyak helah berlaku, saya tak mampu berdiam diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Freddie berkata, ekosistem muzik telah berubah 360 darjah di era digital kini, oleh itu penggiat seni harus lebih memahami di mana hak mereka sebenarnya.

Tambah Freddie, jangan biarkan sistem kapitalis yang mencengkam terus mempermainkan penggiat seni kerana keuntungan yang mereka peroleh sebenarnya hasil titik peluh pemain industri.

“Saya ada sedikit nasihat kepada PPM. Jangan jolok sarang tebuan. Ia akan membawa padah kepada anda dan industri muzik keseluruhannya.

“Peranan PPM dalam kemelut royalti artis amat besar kerana mereka sendiri telah lantik dua pengerusi badan royalti yang gagal melaksanakan tugas seperti diharapkan.

“Aziz Bakar telah dilantik oleh PPM untuk menerajui Prism Sdn Bhd pada 2001 yang telah tutup operasinya pada 2011. Lepas itu mereka sekali lagi campur tangan dalam hal artis dengan penubuhan RPM dan melantik Sheila Majid yang juga nyata gagal,” ujarnya.

Sementara itu, Freddie berkata sebolehnya beliau tidak mahu membawa kemelut itu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan hal syarikat rakaman.

“Saya rasa lebih baik kita duduk semeja untuk bincang satu penyelesaian yang baik demi masa depan industri muzik,” katanya.

Semalam, PPM dalam kenyataan media memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Karyawan dan Freddie atas kenyataan fitnah terhadap mereka.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata pihaknya sudah menyerahkan Penyataan Tuntutan ke atas Karyawan dan Freddie pada 12 Januari lalu.

Menurut Rosmin, adalah mengecewakan apabila Karyawan dan Freddie secara sengaja serta berulang kali membuat kenyataan tidak benar yang mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/11/30/jika-sheila-majid-tak-letak-jawatan-isu-royalti-dibawa-ke-pm-karyawan/

https://malaysiapost.com.my/2020/11/26/sprm-siasat-isu-pembayaran-royalti-artis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here