SERAMAI 589 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 543 dikompaun, 42 individu direman manakala empat lagi lagi dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (184), tidak memakai pelitup muka (130), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod diri/pelanggan (56), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (36), keluar rumah tanpa alasan munasabah (25), aktiviti pusat hiburan (13), membawa penumpang berlebihan (11), ingkar perintah kuarantin (7) dan lain-lain (63),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata, seramai 55 pendatang asing tanpa izin ditahan semalam dan tujuh kenderaan darat serta tiga bot dirampas.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 bot/kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” katanya.
Beliau berkata, bagi ujian saringan Covid-19 bagi warga asing di negara ini pula seramai 10,321 warga asing telah menjalaninya setakat ini dan daripada jumlah itu, hanya 43 didapati positif Covid-19.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan 342,537 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan itu yang melibatkan 15,297 majikan.
“Daripada jumlah keseluruhan ini, 6,457 telah disahkan positif Covid-19 manakala 336,080 lagi adalah negatif,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 1,322 klinik telah terlibat dengan program saringan Covid-19 susulan kerajaan mewajibkan semua pekerja warga asing menjalani ujian itu mulai 1 Februari lalu. – Malaysiapost

