Zahid persoal kenapa Menteri boleh berhimpun

0
1

KERAJAAN larang aktiviti perhimpunan ramai tetapi Menteri boleh?, soal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata beliau memantau komen di Facebook dan ramai mengatakan terdapat ‘double standard’ membabitkan rakyat dan Menteri.

Ini katanya, rakyat sentiasa diingatkan supaya menjaga penjarakan sosial dan akan didenda RM1,000 sekiranya ingkar arahan.

“Mana-mana lokasi pun sama. Pasar malam, kedai runcit, pasar raya, stesen minyak, kedai ubat, kedai menjual santan. Perlu lihat kiri dan kanan. Wajib menjaga jarak.

“Tetapi semalam ada Menteri dilaporkan bertemu 500 penduduk di Hulu Langat. Pada perkiraan saya 500 orang itu sangat ramai jumlahnya.

“Saya juga tertanya-tanya perlukah Menteri ini dikenakan kompaun? Kelihatan mengingkari arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Zahid berkata, beliau tahu progam Menteri terbabit adalah menyampaikan sumbangan dan pemberian peruntukkan tetapi yang menimbulkan persoalan dalam jumlah yang ramai kenapa Menteri boleh dan rakyat tidak dibenarkan.

“Cumanya rakyat kena online, sekolah kena online, bekerja kena online, tetapi sumbangan dana oleh Menteri tidak boleh buat online?

“Selama ini kerajaan melarang aktiviti dalam perhimpunan ramai tetapi Menteri boleh? Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mahu membantu menyahkuman atau sanitasi di kawasan-kawasan sekolah pun dihalang,” katanya.

Walaupun Zahid tidak menyatakan siapa Menteri berkenaan, namum besar kemungkinan ia ditujukan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pada 7 Februari lalu mengagihkan bantuan kepada 500 keluarga di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here