Menteri kuarantin 3 hari: ‘Covid-19 tak takut pangkat’ – Najib

0
1

COVID-19 tak takut pangkat, kata Datuk Seri Najib Razak susulan langkah terbaru kerajaan yang hanya mengenakan tempoh tiga hari sahaja bagi menteri dikuarantin berbanding 10 hari untuk rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelaksanaan tempoh kuarantin tiga hari itu lagi bahaya jika membabitkan menteri yang pulang dari luar negara kerana dikhuatiri kebarangkalian ianya mutasi Covid baru yang lebih ganas seperti mutasi UK dan mutasi Afrika Selatan.

“Kuarantin selama tiga hari sahaja lagi bahaya sebab purata tempoh inkubasi Covid-19 ialah lima hingga enam hari.

“Ada bahayanya jika mereka yang telah dijangkit akan salah dilepaskan terlalu awal lalu menjangkiti ramai lagi orang setelah tersalah sangka mereka bebas Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Najib berkata, pelaksanaan tempoh kuarantin tiga hari itu disifatkan sebagai tidak patut dan hanya menimbulkan kemarahan rakyat.

“Antara ketidakpuasan terbesar ramai ialah dwistandard dalam perlaksanaan PKP tapi ini pula dibuat pada ketika rakyat tengah marah. Tak patut. Aduh,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga turut memberi tiga contoh sebagai bukti semasa kuarantin kendiri tiga hari pada mulanya dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah.

Contoh 1: Adun Kampung Tunku.

  • pulang dari Sabah pada 27 September.
  • Dipotong gelang pada 30 September setelah ujian pertama negatif
  • Didapati positif Covid pada 2 Oktotber.

Contoh 2: Adun Ayer Limau

  • pulang dari Sabah pada 28 September.
  • Dipotong gelang pada 1 Oktober setelah ujian pertama negatif
  • Didapati positif Covid pada 2 Oktober.

Contoh 3: Adu Maharani

  • pulang dari Sabah pada 26 September.
  • Ujian pertama negatif. Sebenarnya boleh dipotong gelang tapi beliau pilih untuk kuarantin kendiri lagi.
  • Didapati positif Covid pada 4 Oktober.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan jemaah Menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, perintah tersebut dinamakan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

“Perintah ini berkuatkuasa bagi tempoh mulai 9 Februari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta,” katanya.

Kenyataan Dr Adham itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuaan: Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang bertarikh 2 Februari 2021. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/menteri-pulang-dari-luar-negara-tidak-perlu-dikuarantin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here