SULTAN Nazrin Shah memberi perkenan had maksimum jemaah untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah di masjid serta surau di Perak ditingkatkan kepada 120 orang.
Ini berbanding 40 orang sebelum ini tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid serta surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sultan Perak memberi perkenan itu berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini bagaimanapun berkata bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua aktiviti agama termasuk solat Jumaat dan jemaah di masjid dan surau tidak dibenarkan.
Katanya, bagi masjid negeri iaitu Masjid Sultan Idris Shah, Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh serta Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar dan masjid-masjid utama di setiap daerah dibenarkan menerima had maksimum 250 jemaah.
“Masjid dan surau dalam kawasan kem tentera, kem polis, kampus universiti, maktab, kolej dan politeknik had maksimum jemaah adalah 250 orang dengan keutamaan dan dibataskan kepada anggota kem serta warga kampus,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.
Mohd Annuar berkata, kebenaran solat Jumaat diadakan di semua masjid dan surau termasuk di kem tentera, kem polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang bertujuan membolehkan lebih ramai jemaah berpeluang menunaikan solat itu.
Katanya, jemaah yang dibenarkan terhad kepada lelaki warga Malaysia berumur 16 hingga 70 tahun dan mereka dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang boleh dibawa ke dalam masjid dan surau.
Menjelas lanjut, Mohd Annuar berkata aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan di masjid dan surau selepas solat maghrib sementara menunggu solat isyak dan ia perlu dihentikan selepas itu.
Sementara menunggu azan solat Jumaat, aktiviti kuliah ilmu boleh diadakan tidak melebihi 20 minit manakala acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di pekarangan adalah dilarang di samping jemaah perlu mematuhi penjarakan fizikal.
Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah Allah dan beribadat secara berjemaah
Namun katanya, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan serta kesihatan jemaah serta menimbangkan tugas berat dihadapi petugas KKM dalam menangani Covid-19.
“Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di Perak.
“Baginda menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat hajat secara harian, memohon bencana kesihatan yang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung dan kehidupan insan kembali normal,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/13/sultan-johor-benar-solat-jumaat-fardu-maksima-12-jemaah/

