GARA-gara dua nasi bungkus berlauk kambing berharga RM38, seorang peniaga dikenakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kota Bharu, hari ini.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata pihaknya menerima aduan berkaitan satu premis tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang dijual di Kubang Kerian.
Katanya, pengadu berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan harga tersebut selain tiada tanda harga dipamerkan.
“Pengadu tampil ke pejabat (KPDNHEP Kota Bharu) dengan membuat aduan rasmi bersama bukti pembelian.
“Susulan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kota Bharu telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis berkenaan.
“Tindakan seterusnya diambil di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 iaitu gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 44 kes di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 telah direkodkan KPDNHEP Kelantan sejak 1 Januari lalu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

