Sektor industri kreatif dibenar beroperasi semula

0
1

Nurul Huda Abhar

SEKTOR industri kreatif dibenarkan beroperasi semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengawal penularan virus Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk produksi animasi dan muzik, pasca produksi di studio, pengubahan muzik secara digital, rakaman lagu di studio dan pra produksi penggambaran.

Juga termasuk penggambaran di studio yang merangkumi drama telemovie, drama, dokumentasi, sitcom, live streaming, rakaman kebudayaan seni dan warisan tanpa penonton.

“SOP yang ditetapkan bagi indsutri kreatif adalah syarikat produksi perlu memohon sijil perakuan penggambaran khas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mengandungi nama tenaga produksi.

“Saringan ujian Covid-19 perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terlibat dan keputusan ujian perlu dikemukan kepada Finas tiga hari sebelum tarikh penggambaran,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengeluaran Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) khas oleh Finas adalah tertakluk kepada keputusan ujian saringan Covid-19 bagi semua tenaga produksi yang terlibat.

Katanya, penguatkuasa Finas akan melakukan pemantau berkala dan tenaga pekerja pengurusan yang dibenarkan adalah sebanyak 30 peratus atau tidak lebih dari 20 orang dalam sesebuah produksi.

“Penyediaan makan harus secara berbungkus, ujian bakat secara bersemuka tidak dibenarkan dan disaran dilakukan secara maya atau penghantaran secara video oleh artis.

“Mesyuarat produksi secara bersemuka melibatkan kehadiran wakil dari luar tidak dibenarkan. Waktu beroperasi dibenar bermula 8 pagi hingga 10 malam sahaja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here