PENGERUSI Amanah Negeri Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah beranggapan masih terdapat polisi ‘antara dua darjat’ dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, kejadian membabitkan anak muda penghantar makananan Food Panda yang dikompaun menunjukkan hanya ikan bilis yang kecil di hukum sementara ikan jerung terus terlepas tindakan.
“Beberapa hari lepas saya menerima rayuan mohon bantu beberapa anak muda berhubung rakan mereka yang bekerja dalam servis perkhidmatan penghantaran makanan Food Panda didenda RM 1,000 seorang semasa sedang berehat dan makan waktu bertugas
“Mereka hanya dapat sekitar RM3 hingga RM5 untuk satu hantaran dan untuk mengumpul wang denda RM1,000 memerlukan mereka menghantar makan sebanyak 200 kali atau lebih kurang sebulan pekerjaan kalau pesanan makan laris.
“Rakyat tidak mempertikaikan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) sangat tetapi rakyat mempersoalkan sikap pilih bulu dan kurangnya budi bicara yang bijaksana oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Raja Kamarul mendakwa situasi itu berbeza membabitkan vip apabila ramai yang berkumpul tanpa mematuhi penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka secara terbuka tetapi tidak dikenakan tindakan atau amaran sekali pun.
“Anak muda Food Panda yang mendapat antara RM3 ke RM5 satu hantaran tidak mempunyai pejabat dan ada yang tinggal jauh dari tempat mereka bertugas di Kuala Nerus untuk pulang ke rumah sendiri semasa mereka ditahan.
“Mereka akan hilang waktu kerja dan turut terpaksa menanggung kos minyak motor pergi balik untuk pulang makan dirumah dengan pendapatan tidak seberapa itu.
“Kita patut berbangga kerana anak muda Foodpanda ini sanggup memilih berkerja keras ditengah panas dan hujan menyara hidup secara halal dan bukan mengemis meminta minta, tetapi malangnya mereka diuji dengan hukuman tanpa budi bicara,” katanya.
Beliau berkata, ironis peristiwa itu berlaku di Parlimen Kuala Nerus di mana Ahli Parlimennya yang bertaraf menteri bergaji puluhan ribu telah terlibat insiden tidak kuarantin selepas pulang dari Turki tanpa tindakan sewajarnya oleh kerajaan sehinggalah dibongkar di parlimen dan mendapat tekanan dari rakyat.
“Insiden saman RM5,000 ke atas lima rider Food Panda ini sekali lagi menunjukkan polisi antara dua darjat di mana hanya ikan bilis yang kecil di hukum sementara ikan jerong terus terlepas tindakan.
“Ianya boleh diibaratkan membunuh nyamuk dengan bedil dan memburu gajah dengan jarum. Bilakah masanya agaknya pembesar negara dan wakil rakyat boleh menjadi contoh yang boleh dibanggakan oleh anak-anak kepada Mak Cik Kiah kita ini ?
“Mereka bukan meminta imbuhan percuma atau subsidi, tetapi mereka hanya mengharapkan sedikit keadilan dan timbang rasa dari Kerajaan seorang Perdana Menteri yang mengelar dirinya ‘Abah’,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/pengantin-bergambar-ingkar-pkp-dikompaun-di-langkawi/

