Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Zamil Ibrahim mempersoalkan status kilang Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja Steel) di Gurun, Kedah yang dikatakan kini tidak lagi beroperasi.
Beliau menerusi video berdurasi lebih dua minit yang dimuat naik di laman Facebook turut memberitahu, terkini kilang tersebut menjadi sarang 25 syarikat haram beroperasi tanpa lesen sah.
Katanya, keadaan luar kilang itu yang dahulunya antara kilang pemprosesan besi terbesar ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dipenuhi semak samun.
“Pada 20 Januari lalu, pihak Pejabat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah menyatakan akan mengambil tindakan terhadap kilang ini.
“Sebanyak 25 syarikat haram itu beroperasi kitar semula bahan terlarang. Dua minggu lalu, heboh di kawasan ini terdapat asap asid melalui sungai dan parit. Penduduk di sini sudah buat aduan tapi sehingga kini masih tiada tindakan dari pihak berkuasa.
“Dalam kilang ini terdapat ratusan pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam video itu.
Zamil meminta Jabatan Imigresen Malaysia bertindak segera perkara itu dan pihak berkaitan mengenai isu kilang haram serta pencemaran alam sekitar.
“Di mana pihak berkuasa? Sebagai penduduk negeri Kedah dan duduk dalam Parlimen Jerai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun harap pihak berkaitan segera menyerbu kilang haram ini
“Kepada pihak berkuasa tolong lakukan segera,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

