PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat kembali berlatih dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya baru-baru ini.
Dia yang beraksi bersama NTS RW Racing GP musim ini mengakui teruja untuk memulakan latihan secara ringan seperti disaran doktor menjelang kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Dunia 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 28 Mac depan.
“Proses pemulihan ambil masa tiga hingga empat minggu dan doktor menasihati supaya tidak melakukan kerja berat menggunakan tangan, apa-apa pun saya jangkakan boleh mula berlatih secara ringan dalam tempoh dua minggu ini.
“Sasaran saya untuk cepat pulih supaya boleh beraksi di Qatar, saya tidak berani kata saya akan kembali cergas 100 peratus tetapi 90 peratus itu saya yakin,” katanya kepada media tempatan dalam kiriman audio menerusi aplikasi WhatsApp, lapor Bernama.
Pelumba berusia 26 tahun itu berkata keputusan untuk mengeluarkan plat besi pada tangan kanannya sebagai usaha memperbaiki serta mempertingkatkan prestasinya di atas litar.
“Keluarkan besi ini disebabkan gangguan dan rasa tidak selesa yang memperlahankan tindak balas gerakan tangan, jadi terpaksa buang besi itu untuk atasi masalah ini dan masa depan lebih baik,” katanya.
Khamis, media melaporkan Hafizh menjalani pembedahan membuang plat yang ‘ditanam’ di tangannya sejak enam tahun lalu di sebuah hospital swasta, setelah mengalami kemalangan di GP Valencia pada 2015. – Malaysiapost

