PENDAKWAH dan aktivis masyarakat, Ebit Lew menggunakan sumbangan yang diberikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membeli 500 unit tab.
Menerusi hantaran di Facebook, Ebit memaklumkan kesemua gajet berkenaan akan diagihkan kepada pelajar yang memerlukannya bagi menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Doakan ya. Terima kasih TMJ. Saya gunakan untuk beli 500 tab untuk 500 pelajar untuk kelas online.
“Syukur dah sampai. Hari ini kami akan agihkan pada yang memerlukan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya, hari ini.
Pada 5 Februari lalu, TMJ menerima kunjungan pendakwah popular itu di kediaman rasmi di Istana Bukit Pelangi.
Tunku Ismail turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di Johor.
Baginda bertitah, Ebit Lew sering menolong rakyat terutama golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.
“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.
“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan,” kata baginda yang turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM200,000 dalam pertemuan itu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/ebit-lew-terkesan-dengan-akhlak-sifat-tmj/

