Sudah lama Kedah arah hentikan projek Musang King – Sanusi

0
1

KERAJAAN Kedah mengarahkan tanaman durian Musang King dihentikan pada Julai tahun lalu, susulan tular video lama berkaitan projek berkenaan semalam.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, arahan itu dikeluarkan sebulan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Arahan dibuat pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan di Baling. Saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

“Bersabit video yang tular, saya difahamkan ia adalah video lama sebelum arahan berhenti kerja dibuat pada Julai 2020.

“Saya tidak kenal mereka, sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas tahun 2013 ataupun syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak tahu tujuan sebenar video lama itu ditularkan semula.

Apa pun, katanya, beliau telah minta laporan penuh keadaan semasa di kawasan itu daripada semua agensi berkaitan dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan berkenaan.

Terdahulu dalam video yang tular itu, seorang lelaki mendakwa akan menjalankan projek tanaman durian terbesar di dunia seluas 12,140 hektar di Gunung Inas, Baling, Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dasar kerajaan negeri sangat jelas iaitu peraturan mesti dipatuhi dan pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi untuk menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, projek ladang hutan mesti ditanam spesies yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesies itu.

“Pada masa itu (Julai 2020) dilaporkan 2,000 ekar atau 809 hektar sudah pun ditanam durian Musang King.

“Arahan kerajaan jelas, hentikan tanaman durian itu, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan.

“Tanah yang sudah gondol mesti ditanam dengan tanaman tutup bumi segera untuk mengelak hakisan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, media melaporkan, kerajaan Kedah mengarahkan syarikat yang menjalankan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas supaya menghentikan segera aktiviti itu bagi mengelak berlaku banjir kilat berterusan di Mukim Kupang.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here