PENGERUSI Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berpandangan Ahli Parlimen pembangkang tidak sepatutnya menuntut peruntukan yang sama rata seperti mana diterima Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Katanya, Ahli Parlimen pembangkang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) juga mengalami perkara sama, tidak menerima peruntukan sama banyak berbanding Ahli Parlimen kerajaan.
“Masa mereka (PH) memerintah dahulu, saya selaku Ahli Parlimen pembangkang hanya mendapat peruntukan sebanyak RM100,000 sahaja.
“Sekarang ini, saya difahamkan Ahli Parlimen pembangkang tetap menerima jumlah peruntukan yang sama.
“Mereka kena ingat, semasa berkuasa dahulu inilah perkara yang dilakukan (mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang),” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, Ahli Parlimen pembangkang dinasihatkan supaya mencari jalan dengan melakukan pelbagai cara bagi membantu masyarakat di kawasan masing-masing.
“Contohnya di Tanjung Karang. Walaupun tiada peruntukan, program dan bantuan kepada rakyat tetap berjalan seperti biasa.
“Janganlah apabila ada kuasa tak mahu buat, tapi apabila hilang kuasa baru hendak buat (tuntut peruntukan sama rata semua ahli Parlimen),” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 32 Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan menyalurkan peruntukan kepada mereka sebagaimana diterima oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Peruntukan itu diperlukan Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka menyalur dan mengusahakan bantuan kepada penduduk di kawasan masing-masing yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/05/pemimpin-ph-mahu-mandat-dikembalikan-tak-mahu-pru/

