ISU peruntukan RM100,000 yang diterima lima Ahli Parlimen Umno yang disuarakan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, akan diberi perhatian wajar.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.
“Benda ini sedang diambil perhatian wajar supaya ia tidak timbulkan persoalan. Sebenarnya saya tidak dapat maklumat, hanya mengetahui selepas rakan-rakan telefon.
“Jadi, minggu depan saya akan berjumpa dengan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri untuk melihat perkara ini. Sepatutnya ia tidak dijadikan persoalan pada waktu ini. Kalau ada yang mempercayai saya sebagai Pengerusi saya akan selesaikannya,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan menerima peruntukan sebagai Ahli Parlimen sebanyak RM100,000 setahun.
Katanya, jumlah itu sama seperti Ahli Parlimen pembangkang berbanding Ahli Parlimen lain yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak RM3.7 juta setahun.
“Bagan Datuk, Pontian, Pekan, Padang Rengas dan Machang antara yang menerima RM100,000. Alhamdulilah, terima kasih walaupun Bagan Datuk kawasan yang mundur di Perak.
“Terima kasihlah atas peruntukan ini dan diharap terbukalah hati pada yang membuat keputusan ini. Ini yang kami terima walaupun undi kami yang menyokong Bajet 2021. Ini hadiah kami dapat,” katanya.-Malaysiapost

