KELUARGA angkat kepada kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai didera di Taman Krubong Jaya, Melaka baru-baru ini memaafkan ibu kandung dan bapa tiri mangsa.
Ibu angkat mangsa, Norlida Abu Hassan, 50, berkata meskipun beliau dan keluarga masih merasai kepedihan atas pemergian anak angkatnya yang mesra disapa ‘Adik’ itu, beliau redha dan berserah kepada Allah.
“Ummi maafkan ibu dia. Itu bukan kesilapan dia. Kesilapan dia hanya Allah yang tahu dan kalau dia minta ampun dan bertaubat, Insya-Allah akan diampunkan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Norlida yang dipanggil Ummi itu turut merayu kepada masyarakat supaya turut sama memaafkan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berusia tujuh tahun berkenaan.
“Jangan kita menghukum menghina mereka sebab kita tak tahu situasi mereka kenapa mereka bertindak. Betul ataupun tidak mereka bertindak sedemikan,” katanya.
Suami Norlida, Md Tarmidi Yaaccob, 52, berkata beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam kepada ibu kandung dan bapa tiri allahyarham.
“Kalau nak berdendam itu, saya tak nak berdendam sebab berat dendam itu. Kita redha untuk lepaskan, kita tak boleh menghukum,” katanya.
Katanya lagi, setelah mendapat berita mengenai kejadian tersebut, beliau dan keluarga mengakui marah terhadap apa yang berlaku namun yakin dengan ketentuan Allah.
Sebelum ini media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada 29 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

