JABATAN Perlindungan dan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menyelamatkan seekor kambing gurun yang terperangkap dalam Kolam Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi di Jelebu, semalam.
Kambing gurun betina dewasa itu tersesat sebelum terperangkap di dalam kolam dan kemudian diselamatkan hasil maklumat awam yang memaklumkan kejadian kepada Perhilitan Negeri Sembilan
Jurucakap Perhilitan Negeri Sembilan berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8 pagi dan seramai 12 anggota ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan kambing berkenaan.
“Jaring digunakan bagi menaikkan dan mengeluarkan kambing berkenaan dari dalam kolam,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Video operasi menyelamat haiwan yang dilindungi itu turut dikongsi di Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
Difahamkan kambing berkenaan tidak cedera namun keletihan susulan terperangkap di dalam kolam ikan itu.
Menurut jurucakap itu lagi, kambing gurun terbabit telah masuk semula ke hutan berhampiran.
“Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan juga akan melakukan pemantauan susulan di sekitar kawasan hutan tersebut bagi memastikan kambing itu selamat.
“Perhilitan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat berkenaan kejadian tersebut,” katanya. – Malaysiapost

