Honda ADV 150 masuk pasaran Malaysia, harga bermula RM11,999

0
1

PENGGEMAR motosikal jenis skuter kembara bandar atau ‘urban explorer scooter’ kini disajikan dengan model terbaru daripada Boon Siew Honda jenis Honda ADV150 yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. 

Mempunyai dua varian warna iaitu ‘Vivacity Red’ dan ‘Mat Charcoal Gray Metallic’, model baharu ini dikuasakan enjin eSP 150 cc penyejuk cecair digabungkan dengan sistem pembakaran PGM-FI berserta pematuhan EURO4.

Honda ADV150 mempunyai reka bentuk kukuh dan canggih dengan prestasi pengendalian jitu selain ditampilkan dengan aspek kembara aktif dan kukuh, sesuai untuk tunggangan harian atau jarak jauh.

Apa yang menarik skuter ini turut dilengkapi Sistem Brek Anti-kunci dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) serta menggunakan lampu LED dan meter LCD.

Model ini mempunyai sistem kunci pintar serta pelarasan cermin depan secara automatik. 

Dari aspek tunggangan pula, Honda ADV 150 dilengkapi suspensi rekaan Showa 130mm dan cakera brek bergelombang 240mm di bahagian depan dan 220mm (belakang) yang tidak hanya menawarkan kestabilan ketika membrek malah kelihatan lebih bergaya.

Lebih menarik, di bahagian belakang, Honda ADV 150 lengkap dengan suspensi berkembar ‘subtank’ Showa 120mm yang memberikan keselesaan optimum dan stabil apabila mengambil selekoh dan jalan berbonggol.

Honda ADV 150 ini akan berada di pasaran tempatan tidak lama dan ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran yang disyorkan RM11,999. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here