Nurul Huda Abhar
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman tidak pernah membayangkan wujud kerjasama antara Umno dan DAP dalam politik negara.
Bagaimanapun beliau berkata percaturan dalam politik tidak boleh dijangka kerana akan berubah mengikut keadaan semasa.
Berikutan itu, wakil rakyat muda DAP itu menyerahkan kepada pimpinan parti untuk sebarang keputusan, kerana baginya apa yang penting adalah kebaikan untuk rakyat.
“Tak tahu, saya tak pernah membayangkan Umno dan DAP (bekerjasama). Kita juga tidak membayangkan Umno bersama PAS, tapi hari ini ada Muafakat Nasional (MN) di mana Umno dan PAS boleh bersatu.
“Politik hari ini kita tak boleh nak cakap. ‘Hari ini saya benci awk, esok saya sayang awak’ itulah politik hari ini.
“Bagi saya apa yang baik untuk rakyat, adalah baik untuk kita sekarang. Kita memerlukan satu sama lain dan itu terserah pada pimpinan parti. Bagi saya apa yang baik itu yang kita teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Sudut Pandang bertajuk ‘Dah 2021: Melayu Masih Takut DAP? yang disiarkan Malaysiapost malam tadi.
Young Syefura yang turut mesra dengan panggilan Rara menjelaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah mencari jalan bagaimana untuk mengawal pandemik Covid-19, dan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai dijalankan dalam situasi kes harian masih tinggi.
Katanya, meskipun keadaan politik negara masih terumbang ambing, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengadakan PRU kerana yang paling penting adalah keselamatan rakyat.
“Bila kita lihat politik sekarang ini sangat kucar kacir. Jujur saya cakap, rakyat pun boleh menilai… tetapi apa yang penting sekarang bagaimana kita nak mengatasi masalah Covid-19 dengan kes yang semakin meningkat.
“Pada saya kita kena fokus pada Covid-19, tidak sesuai juga untuk adakan PRU kerana selagi masalah Covid-19 tidak diselesaikan, vaksin tidak dapat lagi jadi kerajaan perlu tumpu mengawal Covid-19, fokus pada masalah rakyat dahulu,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

