Pengantin bergambar ingkar PKP dikompaun di Langkawi

0
2

DETIK bersejarah merakamkam gambar perkahwinan yang biasanya indah mungkin menjadi mimpi ngeri buat sepasang pengantin apabila ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Langkawi, kelmarin.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, 17 lagi rakan mereka turut ditahan selepas leka bergambar kenangan di kawasan sungai berhampiran kongsi bilis, Taman Nilam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Shariman Ashari berkata, kesemua mereka ditahan sepasukan polis yang kebetulan melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tersebut.

“Secara keseluruhan seramai 19 individu berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan sebelum dibawa ke balai polis.

“Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin itu ditahan kerana ingkar peraturan yang dikuat kuasakan ketika PKP.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kebanyakan mereka menetap di Taman Nilam,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Shariman, kesemua mereka dibebaskan pada hari yang sama selepas tindakan kompaun dikenakan.

Dalam perkembangan sama, Shariman memberitahu pihaknya meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan susulan orang ramai suka berkumpul di tepi sungai dan padang berkenaan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat menunjukkan kumpulan pasangan tersebut dibawa ke balai menaiki trak polis bersama beberapa individu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here