JUMLAH kematian harian akibat Covid-19 terus kekal merekodkan dua angka apabila 12 lagi kematian dicatatkan, hari ini.
Dengan jumlah itu, secara keseluruhan sebanyak 857 kematian akibat Covid-19 dicatatkan dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi jumlah kes terbaru sebanyak 3,847 kes direkodkan hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 238,721 kes.
“Selangor kekal negeri dengan jumlah kes harian empat angka iaitu 1,481 kes. Negeri lain seperti Sabah, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak dan Melaka pula merekodkan kes tiga angka.
“Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Labuan mencatatkan jumlah dua angka, manakala bagi wilayah dan negeri dengan satu angka hanyalah Putraya lapan kes dan Perlis satu kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,692 kes sembuh dicatatkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 186,970 kes.
“Terdapat 50,894 kes aktif dengan 305 kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 139 memerlukan bantuan alat penafasan,” katanya.-Malaysiapost
Atikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/rakyat-perlu-dididik-cara-hidup-bersama-covid-19-zahida/

