PKPD di SMK Sultan Idris Shah II, Gerik dan Kampung Sebako, Lundu mulai esok

0
2

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak dan Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak bermula esok sehingga 19 Februari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan 81 ujian saringan yang dilakukan di sekolah berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 24 daripadanya kes positif Covid-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di SMK Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak.

“Bagi PKPD di Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak sehingga kini, KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD di kedua-dua kawasan di Gerik dan Lundu ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak yang dijadual tamat 10 Februari ini dilanjutkan bermula 11 Februari sehingga 16 Februari 2021.

“Sehingga 3 Februari 2021, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 2,021 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama agensi terlibat dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here