KONSEP kelestarian merupakan satu paradigma pemikiran futuristik dengan mengambil kira keseimbangan persekitaran, ekonomi dan sosial dalam merancang pembangunan dan peningkatan kualiti hidup.
Dalam Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk: ‘Wilayah Lestari Hidup Berkualiti’ menyatakan pembangunan ekonomi dan teknologi dunia kini semakin canggih untuk memenuhi keperluan penduduknya yang semakin meningkat.
Lantaran itu, Wilayah Persekutuan terus ke hadapan membangunkan infrastrukturnya yang berteraskan tema tahun ini iaitu ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’.
Tema ini merupakan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan seluruh agensinya yang mendahulukan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif Wilayah Prihatin yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warga Wilayah Persekutuan.
Keperluan inisiatif ini dilihat sebagai elemen penting dalam memenuhi kesejahteraan penduduknya lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.
Dalam konteks ini, islah dalam pembangunan lestari jika diambil manfaat dan hala tujunya dapat menzahirkan sebuah negara yang makmur dan memberi rahmat untuk semua iaitu Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara yang dilimpahi pelbagai kebaikan, dan dijauhi sebarang kemungkaran (musibah).
Ini disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah Saba’ ayat 15: Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Prihatin dengan nasib menimpa warganya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan dan menyediakan pelbagai insentif seperti Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) yang meliputi 51 inisiatif utama melibatkan lebih 370,854 orang penerima manfaat yang terdiri daripada golongan B40, asnaf dan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja berlesen, penghuni rumah PPR MTEN dan PA DBKL, komuniti, atlet, jurulatih dangelandangan.
Inisiatif ini memberi manfaat terutamanya kepada warga kota yang kehilangan pekerjaanatau diberhentikan kerana pandemik Covid-19, pelajar dan pesakit kurang kemampuan, mereka yang terputus keperluan harian, dan golongan usahawan.
Sesungguhnya orang yang memberi manfaat kepada orang lain itu sangat dikasihi oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Umar RA menceritakan bahawaseorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW lalu bertanya.
Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling dikasihi Allah? Maka baginda bersabda: Manusia yang dikasihi Allah ialah manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain dan amalan yang paling dikasihi Allah ialah memberikan kegembiraan kepada orang Islam, menghindarkan kesusahannya atau menyelesaikan hutangnya atau menolak kelaparan daripada menimpanya.
Sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudara dalam satu hajat adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama sebulan (Masjid Nabawi)”. (Hadis riwayat at-Tabrani)
Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT ialah yang sentiasa berbuat kebaikan dan perkara itu memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya. Sememangnya keperluan setiap orang adalah tidak sama.
Namun dalam hal ini, individu itu sebenarnya memerlukan kasih sayang daripada kita iaitu orang yang berada di sekelilingnya bagi sama-sama mencapai kualiti hidup yang baik.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mimbar berpendapat bahawa umat Islam yang berkualiti ialah umat yang bertamadun tinggi dalam semua aspek. Untuk menjamin kehidupan yang berkualiti, manusia disarankan supaya menjalani kehidupan yang bebas daripada sebarang pencemaran baik dari segi rohani mahupun jasmani.
Pencemaran di sini ialah terhindar daripada sebarang bentuk gangguan dari aspek fikiran, kesihatan, alam sekitar dan sebagainya.
Semua elemen tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan seluruh kehidupan ini menikmati keselesaan dan kebahagiaan serta kemakmuran.
Impak daripada peningkatan kualiti hidup akan melahirkan masyarakat yang amanah, berakhlak mulia, berpengetahuan tinggi, berdaya maju, kreatif, mampu mereka cipta dan mencetuskan segala perbuatan positif yang lain.
Justeru, penekanan kepada aspek memelihara kualiti hidup supaya tahap kehidupan dapat dihijrahkan daripada keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik wajar diperkasakan.
Sehubungan itu, saya menyeru semua masyarakat supaya sedar tentang peri pentingnya peningkatan kualiti hidup sebagai wasilah kemajuan dan kecemerlangan.
Usaha yang diambil oleh Wilayah Persekutuan dalam arus pembangunan negara amat tepat pada masanya, iaitu ketika umat Islam dan negara sedang menghadapi ujian dan kesukaran akibat pandemik Covid-19.
Atas semangat ini insya-Allah masyarakat akan terus membuka minda tentang tujuan hidup yang sebenarnya, dan sama-sama memahami hala tuju yang mahu dibawa oleh pimpinan negara ke arah pencapaian yang lebih cemerlang.
Teruskanlah kawalan kendiri masing-masing dengan mematuhi SOP. SOP yang telah ditetapkan dalam usaha kita membendung penularan wabak Covid-19.
Mudah-mudahan dengan kebersamaan dan kerjasama kita semua akan dapat mengekang penularan wabak ini, Insya-Allah. Firman Allah:
Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmuamatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al An’am ayat 165). -Malaysiapost

