7 asas perlunya RCI ditubuhkan untuk siasat Tommy Thomas

0
2

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan dakwaan yang dibuat melalui bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penulis buku berkenaan perlu disiasat termasuk mengenai kebebasan badan kehakiman.

Menurutnya, setelah meneliti kandungan buku berkenaan, pihaknya mendesak agar ditubuhkan RCI bagi menyiasat beberapa perkara yang dibangkitkan dalam buku itu.

Katanya, terdapat tujuh asas yang mewajarkan penubuhan suruhanjaya itu termasuklah mengenai penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan hakim.

“Asas kedua adalah tentang kebebasan badan kehakiman, manakala ketiga adalah mengenai campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan.

“Keempat, berhubung pendakwaan terpilih dan bersifat politik yang dibuat bekas peguam negara itu.

“Asas kelima, adalah mengenai perlanggaran sumpah kerahsiaan jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, bagi asas keenam penubuhan RCI perlu dibuat adalah berhubung perlanggaran etika dalam melobi jawatan peguam negara dimana Tommy mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak dari sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013.

“Asas yang ketujuh adalah mengenai penghinaan kepada institusi perundangan negara dimana Tommy jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata, berpandukan kepada tujuh asas itu Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mendesak agar kerajaan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala salah laku dan isu-isu yang dibangkitkan di dalam buku bekas Peguam Negara tersebut.

Menurutnya, iai penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya, yang lebih mustahak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada perpolitikan pihak berkepentingan.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here