SEORANG bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) didakwa dengan 22 pertuduhan hari ini membabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM20.45 juta, membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.
Datuk Mohammad Lan Allani, 65, dituduh di dua Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapi.
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.
Tertuduh didakwa atas 17 pertuduhan menerima suapan, tiga pertuduhan cuba menerima suapan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, antaranya bagi meluluskan kertas cadangan bertajuk ‘Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and a Commercial Retail Block known as Dudley International House, 7-13 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia antara 2012 dan 2013.
Bernama melaporkan, kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Solaris Mont Kiara, Maybank Cawangan Mont Kiara, sebuah restoran di Bukit Kiara dan CIMB Bank Jalan Sagunting, Kota Kinabalu.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, pada Rabu lalu kerana disyaki terbabit kes rasuah dalam urusan pembelian hartanah di Dudley International House, di Australia.
Suspek ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. -Malaysiapost

