PEMAIN dan pegawai Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) akhirnya dapat menarik nafas lega apabila tunggakan gaji yang dihadapi sejak November lalu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Perkembangan terkini berhubung pembayaran gaji itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed seperti yang dilaporkan portal Suara Perak, hari ini.
“Kerajaan Negeri telah mendapat sumbangan daripada syarikat-syrikat GLC yang turut sama mahu membantu dalam menyelesaikan isu ini.
“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan para pemain dan pegawai Perak FC,” katanya yang mengesahkan gaji akan diselesaikan Selasa depan.
Sebelum ini media melaporkan barisan pemain dan pegawai pasukan yang dikenali dengan panggilan ‘The Bos Gaurus’ itu masih belum menerima baki separuh gaji bulan November dan keseluruhan untuk Disember dimana nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3.8 juta. Ia tidak termasuk tunggakan bagi bulan Januari.
Permasalahan yang dihadapi itu juga menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah mengumumkan peletakkan jawatan berikutan kesukaran untuk mendapatkan tajaan dan bantuan daripada kerajaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/24/bayar-gaji-atau-pemain-angkat-kaki-peja/

