SERAMAI 32 Ahli Parlimen Pembangkang menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen bagi membantu rakyat semasa pandemik Covid-19.
Menerusi kenyataan secara bersama, mereka menyatakan sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua ahli politik untuk mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat ketika berdepan dengan gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Justeru, Ahli Parlimen Pembangkang menuntut janji Perdana Menteri untuk berpolitik dengan penuh bertanggungjawab dengan menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen Pembangkang.
“Ketika kita sedang berperang melawan Covid-19 dalam situasi yang luar biasa, Kerajaan PN dituntut untuk mengambil tindakan yang luar biasa juga. Ini termasuklah dengan memberikan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen Pembangkang sebagaimana yang diterima oleh Ahli Parlimen dari pihak Kerajaan.
“Peruntukan ini akan membantu Ahli Parlimen Pembangkang menyalurkan dan mengusahakan bantuan kepada penduduk di kawasan kami yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Rakyat dan para pengundi kawasan Parlimen Pembangkang tidak sepatutnya menjadi mangsa atas keputusan dan hak demokratik mereka,” kata kenyataan itu.
Sementara itu menerusi kenyataan yang sama, mereka berkata Kerajaan PN di peringkat Persekutuan perlu mencontohi Kerajaan Negeri di bawah penguasaan mereka seperti di Johor dan Perak dengan memberikan peruntukan kepada setiap seorang Ahli Dewan Negeri (Adun) termasuk dari parti pembangkang.
“Sekurang-kurangnya Menteri Besar Johor melihat pihak pembangkang sebagai rakan strategik mereka di Dewan Undangan Negeri ketika berdepan dengan krisis seperti ini. Pemberian peruntukan kepada Adun pembangkang juga telah lama dilakukan di Selangor dan Pulau Pinang.
“Kerajaan PN digesa menggunakan pendekatan dengan melibatkan ‘keseluruhan Kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam mengendalikan krisis Covid-19 yang semakin buruk pada hari ini.
“Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan sumber untuk melawan pandemik Covid-19 secara bersama dengan segera menyalurkan peruntukan kepada semua termasuklah kepada Ahli Parlimen Pembangkang,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Darell Leiking (Penampang); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Hannah Yeoh (Segambut); Yeo Bee Yin (Bakri); Baru Bian (Selangau); Datuk Rozman Isli (Labuan); Datuk Salahuddin Ayub (Pulai) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Selain Teo Nie Ching (Kulai); Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena); Khalid Samad (Shah Alam); Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Raub); Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya); Wong Shu Qi (Kluang); Teresa Kok (Seputeh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) Dr Lee Boon Chye (Gopeng); Kasthuriraani Patto (Batu Kawan) danb P Prabakaran (Batu).
Turut sama menggesa M Kulasegaran (Ipoh Barat); Chong Chieng Jen (Stampin); Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu); Steven Choong (Tebrau); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); Chan Ming Kai (Alor Setar) Dr Azman Ismail (Kuala Kedah); Thomas Su (Kampar); Alice Lau (Lanang) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru). -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/covid-19-menteri-pn-perlu-letak-jawatan-guan-eng/

